Sep 24, 2013

Asmara Cinta Luka

Assalamualaikum

Orang Melayu kata "cinta itu buta". Orang putih pulak kata "love is blind". Tak tahu la pulak siapa dulu yang cipta frasa tu. Entah orang Melayu tiru orang putih, ataupun the other way around. Tapi, mana kita nak percaya orang putih yang tiru pepatah orang melayu, ye dak? Maklumlah, bangsa mcm kita ni, walaupun dah merdeka 56 tahun, tetap ada rasa mengagungkan orang putih, kesan-kesan penjajahan dulu.

Dalam beberapa hari kebelakangan ni, aku jadi pemerhati kepada sebuah cerita asmara cinta yang luka. Cerita cinta siapa? Itu rahsia. Dan pastinya bukan kisah cinta aku. Kisah cinta yang sememangnya sedikit unik ini memang dah bermula dengan cara yang tidak konvensional, Kalau orang tengok, memang orang kata "payah diorang ni". Dan sudahnya, kisah cinta ini rasanya dah terkandas di tengah jalan. Aku tak tahu nak komen apa, cuma aku doakan yang terbaik untuk keduanya, secara asing-asing..heheh

Pasal cinta, orang boleh jadi buta hati, boleh jadi buta akal. Kenapa aku cakap macam tu? Kerana kadang-kadang kerana terlalu taksub bercinta, orang sanggup ketepikan segalanya dan sanggup buat sesuatu yang dianggap bodoh pada mata orang lain. Nampak macam aku menghina kesucian cinta orang lain, kan. Entah-entah cinta diorang memang sejati, tu pasal sanggup berkorban apa saja. Bukan aku menghina kesucian sesuatu yang bernama cinta, cuma bagi aku, berkorban ada hadnya. 

Mungkin aku tak layak nak bercerita lanjut pasal cinta, sebab kisah cinta sebelum ni pun banyak yang terkandas. Kadang-kadang dia yang jadi punca, kadang-kadang aku yang buat onar, dan selebihnya entah siapa yang punya angkara. Bila putus cinta, aku sedih, murung dan berkabung. Tetapi sebolehnya aku tak mahu bersedih terlalu lama. Bimbang kesedihan yang berlarutan akan memakan diri sampai kecundang, dan akhirnya tumbang. Dengan sisa semangat yang ada kita kena bangkit. Sebab hidup perlu diteruskan. Takde maknanya kalau sedih lama-lama akan ada prince charming datang menyelamatkan kau. Jangan jadi princess macam dalam fairy tales yang kerjanya asyik menunggu dirinya diselamatkan.. Kuat la sikit..!

Sudahnya, banyak mana pun kau cintakan manusia, manusia akan meninggalkan kau, sama ada dalam
kehidupan, dan walaupun kau bernasib baik kerana menemui cinta sejati, dia tetap akan 'pergi' meninggalkan kau. Nasihat aku untuk diri aku sendiri *dan sesiapa yang membaca*, cintailah Allah, Rasullah dan ibu bapa dengan sepenuh jiwa dan keikhlasan, Insyallah cinta yang lain akan menyusul kemudian..

The end.

Sep 9, 2013

Dedikasi Untuk Seorang Kawan

Assalamualaikum

Few months back, aku ada tulis pasal CikSul yang dah berhijrah ke Pahang sebab dapat kerja baru. Hari ni aku nak tulis pasal sorang lagi kawan yang akan berhijrah status dalam masa beberapa bulan, dan buat masa ni dia dikira berhijrah la jugak, berhijrah ke Timur Tengah atas alasan kerja.

Sila jangan tertipu dengan visual di atas. Izuan dah gemuk. Ni gambar lama


Budak ni nama dia Izuan, tapi nickname dia Seweng. Aku kenal dia sejak mula-mula masuk UTM, tahun 1999. Masa tu semua student forecast belajar dalam 3 group, 2 group untuk yang nak ambil kursus kejuruteraan, dan 1 lagi untuk yang nak ambil kursus komputer. Aku dalam kumpulan 1, sama dengan dia. Dia memang friendly. Boleh dikatakan budak MRSM Kuching yang paling ramah, dah mcm maskot pulak. Dia dengan puak-puak dia duk speaking Sarawak je, padahal dia budak Sabah..Takde jati diri punya Seweng.

Lepas tu dia ambil kursus Kejuruteraan Elektrik Telekomunikasi, aku ambil Elektronik. Nama je course lain-lain, tapi asyik nampak je muka budak sekor ni..Kat fakulti toksah cakap la, memang la bayang-bayang dia yang kurus tu je. Kat cafeteria pun muka dia. Sampai ke kolej pun muka dia, memanjang berdating ngan sapa-sapa ntah.. Padahal dia bukan duduk kat kolej pun. Tapi dalam aku gelakkan/kutuk2 dia, banyak juga jasa dia kat aku. Yang takleh lupa masa dia hantar CikSul dengan aku gi stesen bas Larkin. Dah gile punya terdesak masa tu, lagi 10 minit bas Sulas dah nak jalan, aku mcm cool je la sebab aku ada 25 minit lagi. Nasib baik gak budak ni ada, dia pun merempit kereta Kancil putih dia tu to the rescue. Kalau tak, mau meraung kitorang tak dapat balik kampung. Maklumla, harap umur je dah 21 *kalau tak silap la*, tapi asyik-asyik nak balik kampung.

Lepas tu, tahun 2003. Masa tu ramai kawan-kawan rapat dah takde. Diorang dah grad. Antara yang extend semester, dia dengan aku. Lepas tu aku jatuh. Jadi penunggu Hospital Sultanah Aminah for 1 whole month dan HUKM untuk 2 bulan. Masa tu la aku betul-betul start appreciate kewujudan makhluk asing sorang ni. Selalu dia dengan kawan-kawan dia datang visit aku. Bila aku transfer ke HUKM, dia tetap turun KL dan visit aku. Walaupun keadaan aku teruk masa tu, tapi dia tetap buat macam biasa. Tetap buat perangai Mat Sentol dia tu. Dan dalam keadaan mcm tu, dia tetap buat aku gelak dan lupakan sekejap masalah yang melanda. Agaknya kalau dia dengan Has tak visit aku kerap mcm tu, ada kemungkinan recovery aku akan jadi lagi slow. After all, laughter is always the best medicine.

Sekarang ni dah jarang jumpa. Yelah, member dah kerja kat Iraq.  Hari Jumaat lepas dia dtg beraya dengan Azu dan Faiz. Yang kelakarnya si Faiz ni kawan sekelas aku masa Tingkatan 2. Lepas PMR dah tak jumpa dah. Boleh pulak dia jadi teman sekerja si Izuan. What a small world. Borak sakan la kitorang berempat malam tu. Dan macam biasa, Izuan bersembang sambil peluk balang biskut coklat cip. Bak kata dia, 'Pasal duk Iraq la aku jadi macam ni, Faz", padahal 10 thn lepas pun dia dah peluk tin biskut.

Kepada Izuan yang nak balik malam ni *sebenarnya aku lupa dia nak balik Iraq ke Dubai, sebab banyak sangat borak sampai terkeliru*, entry ni aku dedikasikan untuk kau..Toksah nak touching lebih-lebih wei.. Jaga diri baik-baik, jangan sampai kena kencing manis la sbb tgh berdarah manis.. Lepas tu, toksah la kau nak menyalahkan kambing-kambing yang kau dengan Faiz makan kalau aku cakap korang dah makin tembam.

Take care bro.. 


The end.






Sep 2, 2013

Merdeka 2013

Assalamualaikum

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 56. Walaupun dah terlambat beberapa hari, tapi rasanya ucapan aku ni masih valid. Yelah kan, baru lambat 2 hari. Rasanya lenguh tangan anak sedara aku yang sakan berkipas-kipas masa perarakan hari tu pun belum hilang lagi. Berapa jam punya main kipas kalau nak kira tu.. Bak kata Angah, "Muka hensem dah macam abang-abang, rambut kemain style dah macam James Dean, kena main kipas pink masa 31 Ogos..hehe". Nak buat camne, badan je besar tapi baru tingkatan 4.

Apa aku nak cerita pasal kemerdekaan tahun ni?

Masa aku sekolah dulu, cikgu-cikgu sejarah kita selalu cerita pasal kesusahan nenek moyang kita masa tu. Makan ubi kayu, kena bunuh ngan Jepun, kena minum air sabun dan sebagainya. Aku ni memang la suka baca buku tapi buku teks Sejarah tu umpama kryptonite bagi aku. Bukak je buku, mata pun nak tutup. Jadi pengetahuan sejarah aku memang tahap nyawa-nyawa ikan je. Dapat info pun daripada media elektronik iaitu filem berunsur sejarah. Kalau deme tipu, maka sedikit sebanyak tertipu le aku.

Jadi aku pun pernah la tanya kat arwah moyang belah mummy aku pasal kesengsaraan hidup dia masa zaman penjajahan Jepun. Aku nak menyelami hati orang yang berumur dalam lingkungan 20-an masa tu *aku agak-agak je umur moyang aku masa tu*. Aku panggil arwah moyang aku 'Nenek'. Jangan tanya apsal aku panggil dia nenek padahal dia moyang aku, aku ikut je kakak-kakak aku panggil mcm gitu.

"Nek, masa zaman Jepun dulu, hidup azab eh? Makan ubi kayu hari-hari ke? Ada ke pernah nampak mana-mana orang Jepun penggal kepala orang? Seram tak nampak kepala orang tergolek-golek? Ada org kena minum air sabun pastu kena pijak perut? Ada tak hantu Jepun kat kampung kita dulu? *soalan terakhir sudah terkeluar dari konteks sejarah, sudah masuk bab mistik..konon tanya soalan hantu, padahal sendiri pun penakut nak mampuih*

Moyang aku dengan selamba berkata, "Keluarga kita tak susah pun masa tu, hari-hari ada je makan nasi..Sebabnya arwah moyang jantan ko kerja ngan Jepun"....

Teeett....

Patut la aku jadi macam gini, takde sikap patriotik langsung, cicit tali barut Jepun rupanya..Aiyo..!

Jadi, disebabkan jawapan yang pendek dan padat itu, soalan-soalan yang seterusnya terus terabai dan dibiarkan tak berjawap.

Fast forward to 2013...bzztt....

Aku tengok dokumentari pasal sejarah Tanah Melayu kat History Channel. Sumpah keadaan masa tu amat menakutkan, especially bila diorang interview seorang atuk berbangsa cina, bagaimana dia cerita dia nampak mak bapak dan adik dia yang masih bayi mati dibunuh tentera Jepun. Adik dia dilambung dan ditusuk dengan bayonet sampai terburai tali perut, dan dalam keadaan perut dah terburai tu adik dia masih menangis sebab masih ada sisa nyawa. Bila aku tengok dokumentari tu, aku jadi terharu dengan pengorbanan nenek moyang kita untuk menuntut keadilan, supaya Tanah Melayu jadi aman untuk anak cucu diorang *iaitu kita* pada masa hadapan, supaya kita boleh menuntut ilmu tanpa gangguan, cari rezeki dengan tenang, dapat makan MekDonald sampai gemuk *sila hindari makanan segera, kalorinya amat tinggi dan berbahaya untuk kesihatan dan kelangsingan badan*, dan yang paling utama, dapat hidup dengan bangsa-bangsa lain dengan makmur.

Tengok..! Nenek moyang susah-susah nak menuntut kemerdekaan, kita yang hidup aman dan gemuk sekarang ni senang-senang je nak bersikap racist bagai..

Okay..aku masih tak patriotik 100% tapi sudah ada perkembangan positif. *apsal la masa aku sekolah takde dokumentari sejarah yang best mcm sekarang ni, takdelah aku bosan nak hadap buku sejarah...*


Kepada anda semua, nikmatilah keamanan hidup sekarang dan sekali-sekala sedekahkanlah Al-Fatihah untuk pejuang terdahulu yang terkorban demi kesejahteraan rakyat akan datang. Lepas tu jangan lupa bayar hutang PTPTN. Belajar malas, loan nak free.. Chit..!

The end.