May 30, 2013

Cabaran dan Ujian

Assalamualaikum


Hidup ni sebenarnya suatu ujian. Selalunya kita anggap hidup yang susah itu suatu ujian. Yang sebenarnya hidup senang pun salah satu jenis ujian juga. Allah nak tengok, sama ada kita akan ingat Dia semasa hidup kita senang dan bahagia, ingatkah kita untuk berkongsi rezeki dengan bersedekah semasa kita ada duit extra, dan ingatkah kita untuk membaca Al-Quran semasa kita tengah gembira dengan hiburan dunia ?


Masa ditimpa masalah, pernah tak korang rasa koranglah manusia paling malang dalam dunia ni, dan masa tu kononnya hidup di dunia sudah tiada gunanya? Masa putus cinta, pernah tak korang rasa macam cinta itu kejam dan bersumpah tidak akan jatuh cinta lagi sebab tidak mahu terjatuh ke dalam kancah percintaan yang maha zalim *pergh...ayat aku*, masa korang dikejar along, ada tak korang rasa macam nak terjun lombong sebab bagi korang, kematian pun tidak sesakit saat balaci along si loan shark mencantas tangan korang *mati bunuh diri adalah dosa besar..jangan dibuat walaupun dah putus harapan untuk hidup..kalau dibuat, putuslah harapan nak masuk syorga*.


Ketahuilah bahawa di saat kita rasa masalah kita paling besar dalam dunia, pasti ada masalah orang lain yang lebih besar daripada kita. Sentiasalah berfikir macam tu, nescaya korang akan bersyukur walaupun di saat korang diuji Allah dengan masalah. Ingatlah bahawa penjajah omputeh pernah berkata "Every cloud has a silver lining". Tok nenek kita yang berbangsa Melayu jua mempunyai pepatah yang hampir serupa iaitu "Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya" *lebih kurang begitu la orang Melayu kata...aku pun taktau ayat ni pepatah atau tak..kalau tak, maaf la ye sebab tertipu korang..heheh*. Hebat jugak kan bila ada pepatah omputeh dan melayu yang mempunya makna yang ada iras-iras. Lebih kurang macam Remy Ishak dengan Afiq Muiz la..ada iras-iras *betul ke diorang ni ada iras-iras, ataupun mata aku yang dah bertambah rabun?*

Jadi, apa pun masalah dan cabaran yang sedang anda hadapi pada hari ini ataupun pada hari-hari yang akan mendatang, bertabahlah, dan ketahuilah bahawa di sudut yang lain di dalam dunia ini, ada insan lain yang menghadapi masalah yang lebih besar daripada anda. Tabah, berusaha, bertawakal dan jangan lupa senyum, eh..

Jaga diri baik-baik wahai kawan-kawan sekalian.

The end.







May 24, 2013

Marah

Assalamualaikum

Semua orang ada perasaan marah. Ada yang cepat marah, tapi cepat reda kemarahannya. Ada juga yang susah nak marah, tapi punyalah payah reda. Kadang-kadang sampai berhari-hari dipujuk pun masih tak padam api marahnya. Mungkin yang paling bagus adalah yang susah nak marah, dan kalau dia marah pun dia masih rasional dan mudah memaafkan.

Kalau aku?

Boleh dikategorikan sebagai susah nak marah, tetapi masalahnya bila aku marah, aku takkan ada peluang pun nak meluahkan rasa marah aku. Sebenarnya kemarahan perlu dilepaskan, cuma kadar pelepasan kemarahan itu yang perlu berpada-pada. Takkan nak marah sampai hempas-hempas barang, bakar rumah, bakar reban ayam, sepak kucing, lastik ketua kampung, dan sebagainya? Cukuplah sekadar orang tahu yang kita ni tak puas hati sehingga menyebabkan tercetusnya rasa marah.  Kalau korang marah, eloklah dilepaskan. Jangan simpan je dalam hati, nanti kena buli. Macam aku. Haha..

Jangan pendam kemarahan anda, lepaskan dengan cara yang berpada-pada, ataupun alihkan kemarahan anda kepada aktiviti lain. Kalau dipendam sangat nanti rasa stress. Nanti macam-macam penyakit boleh singgah kat badan. Kalau marah, apa kata bawak-bawak pergi berjogging ke, pergi bertinju ke, nescaya kemarahan boleh diredakan. Kalau masih marah, pergi le amik wudu', pastu solat, istighfar banyak-banyak. Tak malu ke kat Nabi Muhammad S.A.W? Beliau kena keji, kena kutuk masa berdakwah, pun beliau tak marah, yang kita ni pasal hal-hal kecik pun nak sentap*ni ditujukan kepada aku la..* Bila ingat macam tu, sure rasa malu nak marah-marah.

The end.

p/s : Jangan marah-marah ye, nanti cepat tua..:)

May 16, 2013

Untuk Cikgu-cikgi

Assalamualaikum

Bersempena Hari Guru ni, aku nak mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih yang berbakul-bakul kepada cikgu-cikgu yang dah mengajar aku, dan secara tak langsung telah membentuk keperibadian aku.  

Kepada semua cikgu yang garang, yang baik hati, yang kejam sebab suka bagi homework banyak, cikgu yang suka bagi homework banyak tapi tak check pun, ustazah yang pernah mengajar tajwid sampai aku faham padahal aku ni memang bebal sikit bab tajwid, cikgu masa darjah 1 yang ajar lukis gambar ayam, cikgu yang ajak gi Sg. Congkak lepas persembahan dikir barat masa sekolah rendah, cikgu yang pernah denda aku berdiri luar kelas sebab tertinggal buku kat rumah, cikgu yang pernah ajar math tingkatan 1 lepas UPSR tamat padahal budak kelas sebelah takde buat apa pun, cikgu yang ajar taekwondo masa darjah 3, cikgu pendidikan jasmani yang langsung tak bawak kitorang sekelas ke padang pasal kitorang taknak bersukan masa tingkatan 3, cikgu yang asyik panggil aku dengan nama yang salah, cikgu mengajar subjek english yang budak lelaki dalam kelas panggil dia Doraemon *budak lelaki kelas aku memang jahat*, cikgu homeroom yang pernah hantar gi klinik dan belikan aku torchlight sebab nak kena gi camping, cikgu homeroom *lagi sekali* yang pergi buat pengumuman dalam kelas suruh aku call rumah sebab mak aku call dia *tak pasal-pasal kena gelak*, cikgu biologi kelas lain yang nak terima aku dalam kelas tuisyen dia *cikgu ni yang buat kertas peperiksaan biologi, so ada la chance nak score markah lebih sikit..heheh*, ustaz yang tidur masa aku jawab soalan KAFA depan dia, cikgu ad math yang lemah lembut tapi garang dan juga cikgu bahasa melayu masa tingkatan 5 yang supercool dan sangat selamba.

Kepada pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar aku masa kat UTM, encik penasihat akademik yang sangat payah nak jumpa padahal nak mintak tandatangan untuk daftar subjek je pun, encik signal processing yang mengajar tak bawak pen marker tapi still aku rajin nak gi kelas dia sebab dia sangat berkarisma, cik teori litar yang mengajar sangat slow sebab nak bagi kitorang faham tapi baik hati, encik johari kassim yang awal-awal aku sangat menyampah sebab macam garang tak tentu pasal tapi bila dah hujung-hujung aku macam dah tak kisah sebab dia dah jadi kelakar dan juga para pensyarah yang lain.

Kepada anda semua, terima kasih sebab pernah memberikan ilmu kepada saya, tak kira la ilmu tu betul-betul saya berjaya hadamkan ataupun tidak *kalau tak berjaya hadam, tu kiranya salah aku la*. Jasa anda semua sangat saya hargai, semoga pekerjaan anda yang mulia ini, jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, akan membawa anda ke syurga nanti.


The end.



May 14, 2013

Perempuan Dan Kekurusan

Assalamualaikum

Orang perempuan memang sangat prihatin dengan penampilan diri,kan? Zaman sekarang ni, budak-budak perempuan yang bawah 13 tahun *awek yang dah masuk sekolah menengah memang dah start nak melawa..kebiasaan* pun dah pandai nak bergaya. Pakai baju nak sepadan dengan kasut, warna tudung pulak nak sepadan dengan warna baju. Bila dah besar sikit, mula nak jaga kulit muka, mula jaga badan. Aku rasa 90% perempuan takut jadi gemuk. Kadang-kadang tu, yang dah kurus pun masih rasa diri dia gemuk. Bila seluar ketat sikit, mula la berdiet, pergi bersenam bagai. Dan yang lebih malang lagi, ada yang jaga badan sebab pasangan yang suruh. Kalau nak double malang, pasangannya itu cuma la seorang kekasih, bukan suami pun..

Aku pun termasuk juga dalam kategori perempuan yang takut gemuk..*sedikit pathetic...haiyoh..*

Masa aku kecik dulu *bawah 10 tahun*, aku boleh dikategorikan sebagai budak yang keding. Memang tinggi dari rakan sebaya yang lain, tapi memang agak kurus. Seingat aku, bila aku dah darjah 5, badan aku start melebar. Biasa la, puberty. Aku masih tinggi, tapi badan aku pun besar. Jadi, aku memang kelihatan sedikit macam gergasi..Muahaha..

Bila aku masuk sekolah menengah, aku rasa badan aku memang paras-paras la..Paras-paras tu camne? Dipendekkan cerita, kalau tambah 5 kg lagi, aku akan jatuh dalam kategori bulat..Hehheh..Tapi aku memang macam tak berapa heran sangat pun. Walaupun aku dah sampai kat 'tebing' *at the edge, omputeh kata*, aku macam tak kisah je. Apa nak kisah, walaupun muka bulat tapi aku rasa aku comel la jugak, dan bila time bersukan, takde pun nak semput bagai. Bila masuk asrama, lagi la 'comel'. Makan satu hari 6 kali tu, macam mana nak kurus. Makanan kat sekolah aku masa tu boleh la dikategorikan sebagai sedap. Bedal je semua jenis makanan.

Bila masuk UTM lagi la parah..Pasal apa parah? Pasal aku suka makan malam-malam. Bila berjaga sebab nak study, perut pun mintak diisi. Kebiasaannya setakat minum milo dengan makan biskut la, tapi bila dah ada geng yang berkenderaan, selamba je nak gi melantak nasi lemak malam-malam. Isk isk, tak bermoral sungguh.

Tahun 2003, sebelum cuti semester, rasanya masa tu la berat aku yang paling maksima sekali..Berapa? Nak mention pun segan weih. Masa tu la aku tiba-tiba menggelabah nak kurangkan berat badan. Berhasil la. Dalam tempoh 3 bulan cuti semester, aku berjaya la menguruskan diri. Siap kena beli seluar baru weh, sebab seluar lama udah longgar..Bangga la sekejap. Semenjak itu la aku memang cautious dengan berat badan aku. Kadang-kadang macam bodo pun ada jugak, sebab melampau sangat..

Lepas tu aku jatuh...Fast forward beberapa tahun ke depan...Bzzzttt...

Tahun 2013 ni aku rasa aku kena la mula jaga berat badan aku semula. Rasa muka macam dah bulat macam bola je. Lagipun, kalau aku terlebih berat badan, susah aku nak bergerak ke sana sini, dan akan menyusahkan orang lain juga. Azam bulan Mei, aku nak lebihkan makan sayur, dan kurangkan makan benda manis *walaupun sebenarnya aku suka...uwaaa...*

Jadi, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan dan mengawasi berat badan kita dengan menjaga pemakanan seharian. Jangan lupa bersenam. Semoga bersama-sama kita terhindar dari penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes..*boleh jadi Menteri Kesihatan..muahahah*

The end.

p/s : banyak sangat iklan suplement untuk menguruskan badan kat Facebook..rimas..

May 4, 2013

Entry Pra-PRU13

Assalamualaikum

Esok 5 Mei, 2013. PRU 13. Eh, pilihanraya ke-13 pada tahun 2013. Style jugak. 

Macam biasa la, bila menjelang PRU13 orang pun ramai la yang bersembang pasal politik negara. Ada yang berbincang secara ilmiah, dan ada juga yang gebang je lebih. Ada orang tanya aku, "mengundi siapa kali ni?". Aku senyum je, tak jawab apa-apa pun. Dengan pantas mereka assumed aku ni pengundi atas pagar yang masih lagi tak buat keputusan nak memangkah siapa. Entah-entah kalau memangkah pun, akan buat undi rosak. Takpun tak gi mengundi langsung. Eleh, memandai je mereka itu, kan? Memang pe'el judgemental tak habis-habis.

Betul la, memang aku belum menetapkan aku nak memangkah siapa untuk kerusi Parlimen. Undi untuk kerusi DUN tu memang dah lama decide pun.

Ada la manusia annoying yang setiap kali jumpa aku, mesti nak tanya aku undi siapa, dan kebanyakan kalinya aku diam dan senyum je. Manusia yang seorang ni sebenarnya macam lalang. Apsal aku kata dia lalang? Sebab aku selalu je observe bila dia bercakap. Sekejap bising-bising pasal nak perubahan la, bila lagi  nak ubah la..Lepas tu kadang-kadang membebel pulak, akan huru-hara ke negara kita ni kalau BN kalah, aman lagi tak. Nampak sangat tak tetap pendirian. Aku memang tunggu masa je nak fire dia ni..Jadi, beberapa hari lepas dia tanya lagi.

"NAK MENGUNDI SIAPA AHAD NI?" 
*huruf besar sebab dia cakap kuat macam la aku ni pekak..maaf ye, saya cuma spinal injury, Alhamdulillah telinga saya tak cedera 10 tahun lepas*

Bila dia tanya, tak ubah macam dia tekan punat 'ON' kat badan aku. Aku senyum, tarik nafas dan terus cakap dengan satu nafas. "Eh, undi kan rahsia. Tengoklah siapa saya nak undi nanti. Walaupun bapak saya letak bendera BN depan rumah, tak semestinya saya undi BN. Tapi kalau saya nak undi BN pun, suka hati saya la kan, kan, kan, kan...."

Macam kurang ajar je aku ni, kan..Tapi aku perlu cakap apa aku rasa, supaya dia stop tanya soalan annoying yang sama berulang-ulang kali pada aku.

Bagi aku politik Malaysia ni kadang-kadang macam politik orang tak bertamadun. Sebab apa? Sebab teknik berkempen yang suka memburukkan parti lawan. Masa berkempen, pung pang pung pang kutuk parti lawan. Aku rasa takde siapa yang pernah berkempen dengan mengatakan yang 'parti lawan dah pun buat yang terbaik, tapi anda undila kami kerana parti kami menjanjikan yang lebih baik lagi', ataupun 'si A dari parti toot memang dah bekerja keras membantu rakyat sepanjang 5 tahun lepas, tapi anda undilah calon B kami dari parti teet sebab dia pasti akan bekerja lebih keras lagi dari si A kerana dia memang power macam Tony Stark *menyempat jugak kau nak mengarut,kan faz*

Jadi, apa aku akan buat esok?

Ibarat perlu memilih antara dua biji buah yang busuk..Pilih yang kurang busuk antara dua, sekurang-kurangnya yang kurang busuk tu lebih bermanfaat sedikit dari yang satu lagi dan akan mengelakkan aku dari sakit perut kalau memakannya.

Pesanan aku untuk kita semua. Sila jaga perangai anda esok, jangan buat kecoh, mulut jangan celupar. Pahala kita dah memang sikit, jangan sia-sia dapat dosa dengan berbuat perkara yang boleh dielakkan. Sekian.

The end.